Thursday, September 22, 2022

KELEBIHAN SURAH AL-BAQARAH


 

KELEBIHAN SURAH AL-FATIHAH


 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS-Jauhi Syubhah Agar Jiwa Tenang

Jauhi Syubhah Agar Jiwa Tenang


عَنْ أَبِي محمد الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّبن أبي طالب رضي الله عنهما قَالَ :حَفِظْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ


Daripada Abi Muhammad Al Hasan bin Ali bin Abi Talib RA katanya : Aku telah menghafal daripada Rasulullah SAW : "Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada sesuatu yang tidak meragukanmu kerana kebenaran atau kejujuran itu ketenangan dan sifat dusta itu mendatangkan keraguan. (HR Tirmizi No: 2518) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1. Maksud perkataan الريبة adalah meninggalkan apa yang mendatangkan syak (keraguan) dalam hati pada sesuatu perkara dan berpegang kepada sesuatu yang tidak mendatangkan syak (keraguan) pada perkara tersebut.


2. Tinggalkan sesuatu yang syubhah atau meragukan agar jiwa kita sentiasa tenang.


3. Galakan untuk bersifat benar kerana itu adalah sumber kepada kebaikan dan peringatan untuk menjauhi sifat dusta kerana itu adalah punca bagi setiap keburukan.


4. Hendaklah seseorang itu menjauhi perkara yang mendatangkan syubhah (keraguan) kepadanya dan berpegang kepada perkara yang jelas lagi nyata kerana sesiapa yang menjauhi perkara syubhah maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Sebaliknya sesiapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, maka dia telah jatuh dalam perkara yang haram.


5. Berusahalah memastikan sesuatu itu yang benar dan soheh bukan yang meragukan apatah lagi yang palsu atau penipuan scammer.


Wednesday, September 21, 2022

4 KEUTAMAAN AMALAN DI BULAN SAFAR






 

KEPERCAYAAN KHURAFAT DI BULAN SAFAR


 

AMALAN BULAN SAFAR


 

PERISTIWA BULAN SAFAR


 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Ucapan Ketika Melihat Suatu Yang Disukai dan Dibenci

Ucapan Ketika Melihat Suatu Yang Disukai dan Dibenci


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ 


Daripada 'Aisyah RA dia berkata; "Apabila Rasulullah SAW melihat sesuatu yang baginda sukai, baginda akan mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna." dan apabila baginda melihat sesuatu yang dibenci, baginda mengucapkan: "Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan." (Sunan Ibnu Majah No: 3793) Status: Hadis Hasan


Pengajaran:


1.  Rasulullah SAW mengajar kepada kita adab apabila melihat sesuatu sama ada yang disukai atau yang dibenci.


2.  Apabila melihat sesuatu yang disukai, hendaklah kita mengucapkan kalimah: 


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ


"Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna." 


3.  Apabila melihat sesuatu yang kita benci hendaklah kita  mengucapkan kalimah:


الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ


 "Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan


Mari kita amalkan kalimah terpuji apabila melihat sesuatu yang disukai mahupun juga yang dibenci

LAWATAN PENANDA ARAS MAIM KE MAJLIS PERBANDARAN SEPANG


 

Sunday, September 18, 2022

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Ilmu Umpama Hujan

Ilmu Umpama Hujan


عَنْ أَبِي مُوسَى عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنْ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ 

وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ


Daripada Abu Musa dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Perumpamaan petunjuk (hidayah) dan ilmu yang Allah mengutusku dengan membawanya adalah seperti hujan lebat yang jatuh ke bumi. Di antara tanah itu ada jenis yang dapat menyerap air sehingga dapat menumbuhkan rerumput dan tumbuhan yang pelbagai. Ada pula tanah yang keras tidak menyerap air hingga bertakungnya air sehingga dapat diminum oleh manusia, haiwan ternak dan untuk menyiram tanaman. Ada juga permukaan tanah yang berbentuk lembah yang tidak dapat menahan air dan juga tidak dapat menumbuhkan tanaman. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama, memahami agama Allah dan dapat memanfaatkan apa yang aku diutus dengannya, dia mempelajarinya dan mengajarkannya. Begitu juga perumpamaan orang yang tidak dapat mengangkat darjat (untuk berfikir) dan tidak mahu menerima hidayah Allah dengan apa yang aku diutus dengannya (dia umpama tanah yang tidak menakung air dan tidak subur)". (HR Bukhari No: 79) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


Terdapat tiga kategori manusia:


1. Orang yang berilmu, beramal dengan ilmu, dan mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Ini seperti tanah yang subur yang bila ditimpa hujan ia menyerap air dan menumbuhkan tumbuhan.


2. Orang yang berilmu, kurang dalam amalan, atau kurang memahami ilmu yang dia dapati, akan tetapi dia tetap menyampaikan ilmu tersebut. Hal ini seperti tanah yang keras. Ia tidak dapat menyerap air, akan tetapi air yang bertakung itu memberi manfaat kepada makhluk lain.


3. Orang yang berilmu, tetapi tidak berusaha memahami atau menghafaznya, tidak juga beramal dengannya, dan tidak juga berkongsi ilmu. Ia seperti tanah yang tidak subur untuk menumbuhkan tumbuhan, dan tidak juga dapat menakung air. Ilmu itu tidak bermanfaat untuk dirinya dan orang lain.


4. Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: “Sebagaimana hujan yang turun akan menghidupkan tanah yang mati, begitu jugalah ilmu agama akan menghidupkan hati yang telah mati”. 


Jadilah kita kategori pertama, orang yang menerima ilmu, mengamalkan dan menggunakannya untuk mengajar serta memberi manfaat kepada orang lain.


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Bersama Dengan Orang Yang Dicintai

Bersama Dengan Orang Yang Dicintai


عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ


Daripada Abu Wa`il dari Abdullah dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda: "Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya." (HR Bukhari No: 5702) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.  Orang yang "mencintai" seseorang akan sentiasa bersama dengan orang yang "dicintai".


2.  Ibnu Hajar menjelaskan: sesungguhnya kita akan bersama dengan orang yang kita cinta, sentiasa akan didekatkan dengan orang yang dicintai malah kita akan  termasuk dalam golongan yang dicintai.


3.  Cintailah orang yang soleh kerana seseorang akan dibangkitkan di hari kiamat bersama dengan orang yang dicintai.


4.  Ibnu Battal dalam Syarah Sahih Al-Bukhari, hlm. 9/333, menyatakan: Ketika seorang mencintai orang yang soleh, di mana dia mencintai mereka kerana ketaatan mereka pada Allah sedang cinta itu merupakan perbuatan hati dan keyakinan hati maka Allah memberi pahala padanya sebagaimana pahala orang soleh yang dicintainya. Kerana niat itu adalah yang asal sedang amal itu mengikuti niat.


قِيلَ لِلنَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلُ يُحِبُّ الْقَوْمَ وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ 


Ada yang berkata pada Nabi SAW, ‘Ada seseorang yang mencintai suatu kaum, namun ia tidak pernah berjumpa dengan mereka.’ Nabi SAW  lantas bersabda, ‘Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai.’” (HR Muslim  no:  2640) Status: Hadis Sahih. 


5.  Orang yang cinta kepada Rasulullah SAW, ia akan tetap dapat bersama Rasulullah SAW memasuki Syurga walaupun tingkatan syurganya berbeza (Fathul Bari, 10: 555). 


6.  Cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan sentiasa mencontohi, mengikuti dan mentaati perintah dan larangan. Perbuatan tersebut akan menatijahkan kecintaan Rasulullah SAW kepada kita walaupun kita tidak pernah menemui baginda.


Dalam kita membina kehidupan di negara tercinta ini, kita mengharapkan kebahagiaan hidup ini bukan hanya di dunia malah juga di akhirat nanti. Justeru jadikanlah Rasul serta orang-orang soleh sebagai qudwah untuk kita contohi dan cintai. Moga kita akan bersama mereka di Syurga nanti.


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Hubungkan Ukhuwah Dengan Sapaan

Hubungkan Ukhuwah Dengan Sapaan


عَنْ هِشَامَ بْنَ عَامِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ مُسْلِمًا فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ فَإِنْ كَانَ تَصَارَمَا فَوْقَ ثَلَاثٍ فَإِنَّهُمَا نَاكِبَانِ عَنْ الْحَقِّ مَا دَامَا عَلَى صُرَامِهِمَا وَأَوَّلُهُمَا فَيْئًا فَسَبْقُهُ بِالْفَيْءِ كَفَّارَتُهُ فَإِنْ سَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ وَرَدَّ عَلَيْهِ سَلَامَهُ رَدَّتْ عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ وَرَدَّ عَلَى الْآخَرِ الشَّيْطَانُ فَإِنْ مَاتَا عَلَى صُرَامِهِمَا لَمْ يَجْتَمِعَا فِي الْجَنَّةِ أَبَدًا


Daripada Hisyam bin 'Amir berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudara Muslim lebih dari tiga malam, jika mereka berdua saling mendiamkan lebih dari tiga malam tersebut, keduanya jauh dari kebenaran selama mereka berdua masih memutuskan hubungan. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dari rasa marah (menyambung kembali hubungan ukhuwah), maka ia menjadi penebus dosanya. Jika (si 'A') memberi salam terhadap temannya (si 'B') namun tidak diterima, padahal (si 'A') masih mahu menjawab salamnya, maka (si 'A') akan dijawab oleh Malaikat, dan (si 'B') yang mendiamkan akan dijawab oleh syaitan. Jika mereka berdua meninggal dalam keadaan saling mendiamkan, maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya." (HR Ahmad No: 15668) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.  Seorang muslim tidak boleh memutuskan hubungan dengan saudara Muslimnya lebih dari tiga malam


2.  Jika kedua-dua Muslim yang berselisih, saling mendiamkan diri dengan tidak bertegur sapa lebih dari tiga malam, keduanya akan jauh dari kebenaran (Rahmat) selama mereka berdua masih memutuskan hubungan.


3.  Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dan segera menyambung kembali hubungan ukhuwah, maka ia akan menjadi penebus dosanya kerana memutuskan.


4.  Jika ia memberi salam kepada temannya namun tidak dijawab oleh temannya, maka ucapan salamnya akan dijawab oleh Malaikat, dan teman yang berdiam akan dijawab oleh syaitan. 


5.  Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan saling mendiamkan diri (tidak mahu menghubungkan kembali ukhuwah), maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya. 


Bersamalah kita saling menghubung ukhuwah dan menyemai sifat berkasih sayang sesama kita melalui bertegur sapa. Saling bertolong bantu dalam perkara yang disepakati dan saling bermaafan dalam perkara yang berbeza.

SAMBUTAN HARI MALAYSIA



 


JALUR GEMILANG


 

HARI MALAYSIA


 

Wednesday, September 14, 2022

HIKMAH MEMBERI SALAM & MENJAWAB SALAM


 

HIKMAH SOLAT TAHJUD


 

HIKMAH PUASA ISNIN & KHAMIS

 


Ciri-ciri seorang Muslim yang baik

TANDA-tanda bagi peribadi seorang Muslim ialah tidak melakukan pekerjaan-pekerjaan yang tidak berfaedah. Ia tidak bersama-sama dalam kumpulan yang tidak bermanfaat jika berada di tempat orang ramai, ia tidak banyak bercakap dalam perkara yang tidak keruan.


Begitu juga seorang Muslim yang mempunyai keperibadian yang mulia, ia tidak suka masuk campur dalam perbualan dua orang yang tiada kaitan dengan dirinya.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Di antara kebaikan Islam seorang adalah meninggalkan suatu yang tidak berfaedah baginya. Dalam riwayat yang lain Nabi bersabda maksudnya; “Di antara kebaikan Islam seorang adalah sedikit percakapan yang tidak berfaedah baginya.” (Tarmidzi dan Ibnu Majah)

Perkara-perkara yang tidak berfaedah itu banyak seperti tindakan kebudak-budakan dan perkara yang sia-sia contohnya mengumpat peribadi seorang dan berbual-bual melampaui batas.

Allah SWT memuji hamba-hambanya yang pengasih dan penyayang iaitu mereka yang memiliki berbagai ciri keperibadian Islam di antaranya ia tidak terlibat perkara sia-sia dan tidak berbual-bual dalam perkara yang tidak bermanfaat.

Firman Allah SWT maksudnya: “Jika mereka melakukan perkara yang sia-sia mereka tetap menjaga kemuliaannya.”

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata; “Wahai Rasulullah s.a.w, aku adalah orang yang ditaati di tengah kaum aku. Lalu apa yang mesti aku perintahkan kepada mereka.

Jawab Rasulullah s.a.w kepadanya; “Perintahkan mereka untuk menebarkan keselamatan dan sedikit percakapan kecuali apa yang bermanfaat kepada mereka. Jika seorang Muslim mendapati orang yang berbual-bual melampaui batas maka tidak dibenarkan untuk menyebelahi antara mereka.”

Firman Allah SWT yang bermaksud; “..Dan janganlah kamu duduk bersama mereka sampai mereka membicarakan hal lain.” (An-Nisa’: 140)

Jamaah Islam adalah seperti satu keluarga yang diikat dengan tali Allah iaitu Islam yang kuat menghimpunkan mereka dengan kalimah tauhid dan menjadikan mereka sebuah umat yang saling tolong menolong dan bantu membantu dalam kebajikan dan ketakwaan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tolong menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu tolong menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Al Maidah: 2)

Sesungguhnya keterlibatan seorang Muslim dalam mewujudkan perdamaian serta memerintahkan kepada kebajikan dan hal-hal yang bermanfaat bukanlah keterlibatan yang tidak bermanfaat tetapi kebersamaan yang bermanfaat.

Firman Allah yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan bisikan mereka kecuali bisikan dari orang-orang yang menyuruh agar memberi sedekah atau berbuat baik atau mengadakan perdamaian di antara manusia (An-Nisa’: 114)

Tanda-tanda peribadi Muslim dan kuatnya iman kepada Allah dan hari akhirat ialah seorang itu hendaklah mengatakan hal-hal yang baik sahaja atau hendaklah diam.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud; “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia mengatakan yang baik-baik atau diam sahaja.

Al-Quran telah memendekkan ucapan yang baik dengan yang buruk sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengetengahhkan pemisalan kalimah yang baik adalah seperti pohon yang baik akarnya tetap teguh, sedangkan jambangan (menjulang) ke langit, setiap musim mendatangkan buahnya atas izin Tuhannya dan Allah memberikan pemisalan ucapan yang buruk adalah seperti pohon yang telah dicabut akarnya dari permukaan bumi tidak dapat tetap sedikit pun.” (Ibrahim 24-27)

Kesimpulannya bahawa untuk mendapatkan keperibadian seorang Muslim ia mempunyai perkataan yang konsisten kerana seorang Muslim itu seharusnya bersikap dengan sungguh-sungguh, tidak mudah dibawa arus.

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Hormati Yang Tua Kasihi Yang Muda

Hormati Yang Tua Kasihi Yang Muda


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا وَيَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَ عَنْ الْمُنْكَرِ


Daripada Ibnu Abbas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang tua kami, serta tidak menyuruh yang makruf dan melarang yang mungkar." (HR Tirmidzi No: 1844) Status: Hadis Hasan


Pengajaran:


1.  Orang yang tidak mengasihi anak-anak kecil dan menghormati orang tua – mereka tidak mengikuti sunah Rasulullah SAW dan Adab seorang Muslim.


2.  Menghormati orang yang lebih tua daripada kita termasuk sunnah Nabi. Rasulullah SAW bersabda:


إِنَّ جِبْرِيلَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنِي أَنْ أُكَبِّرَ


"Jibril telah menyuruhku untuk mendahulukan orang-orang yang lebih tua" (HR. Ahmad  No:1555)


3.  Keutamaan menghormati orang yang lebih tua termasuk dalam mengagungkan Allah. Rasulullah SAW bersabda:


إِنَّ مِنْ إِجْلَالِ اللَّهِ إِكْرَامَ ذِي الشَّيْبَةِ الْمُسْلِمِ


"Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah adalah menghormati orang muslim yang sudah tua" (HR Abu Daud No: 4203)


4.  Dahulukan orang yang lebih tua dari kita. Malik bin Mighwal rahimahullah berkata:


كُنْتُ أَمْشِيْ مَعَ طَلْحَةَ بْنِ مُصَرِّفٍ  فَصِرْنَا إِلَى مَضْيَقٍ فَتَقَدَّمَنِيْ ثُمَّ قَالَ لِيْ : لَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ أَنَّكَ أَكْبَرُ مِنِّيِ بِيَوْمٍ مَا تَقَدَّمْتُكَ 


"Dahulu aku berjalan bersama Talhah bin Musharrif, sampailah kami ke sebuah jalan sempit, maka beliaupun mendahuluiku, seraya berkata kepadaku: Seandainya aku mengetahui bahawa engkau lebih tua satu hari daripada aku nescaya aku tidak akan mendahuluimu" (Diriwayatkan oleh Al-Khathiib Al Baghdaady dalam Al Jaami' li Akhlaaqi Ar Raawii wa Aadaabi As Saami', no: 249)


5. Menjadi tanggung jawab Muslim untuk mengajak orang lain kepada kebaikan dan melarang kemungkaran berlaku.


Dalam kita hidup bermasyarakat dan mewujudkan negara Malaysia yang harmoni dan utuh, setiap kita bertanggungjawab untuk bersifat rahmah dengan  sentiasa beradab dan menyantuni orang yang lebih tua dari kita apatah lagi jika dia pemimpin kita dan sayangilah orang yang lebih muda dari kita.

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Golongan Penghuni Syurga


Golongan Penghuni Syurga


عن عياض بن حمار المجاشعي رضي الله عنه عن النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال : وَأَهْلُ الْجَنَّةِ ثَلَاثَةٌ ذُو سُلْطَانٍ مُقْسِطٌ مُتَصَدِّقٌ مُوَفَّقٌ وَرَجُلٌ رَحِيمٌ رَقِيقُ الْقَلْبِ لِكُلِّ ذِي قُرْبَى وَمُسْلِمٍ وَعَفِيفٌ مُتَعَفِّفٌ ذُو عِيَالٍ


Daripada Iyadh bin Himar al-Mujasyai RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: "Penghuni syurga itu terdiri daripada tiga golongan; iaitu penguasa yang berlaku adil, gemar bersedekah dan diberi kurnia taufik (Allah), seorang yang penuh kasih sayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim, dan seorang yang suci dan miskin namun menjaga dirinya dari meminta-minta”  (Sahih Muslim No: 5109) Status : Hadis Sahih


Pengajaran


Antara golongan yang akan menjadi penghuni Syurga ialah:


1.Penguasa atau pemimpin yang adil, sentiasa pemurah dengan bersedekah dan diberi kurnia taufik oleh Allah dalam menjalankan tanggungjawab.


2.Orang yang memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim yang lain


3.Orang yang suci hatinya walaupun miskin namun menjaga dirinya dari menjadi peminta sedekah.


Sebagai warganegara, sama ada kita seorang pemimpin mahupun pengikut, berusahalah memiliki sifat adil, kasih sayang, lemah lembut serta menjadi pemberi bukan peminta. 

Monday, September 12, 2022

KELEBIHAN BERSABAR


 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Amalan Yang Memasukkan Ke syurga

Amalan Yang Memasukkan Ke syurga


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَنْبِئْنِي بِعَمَلٍ إِنْ عَمِلْتُ بِهِ دَخَلْتُ الْجَنَّةَ قَالَ أَفْشِ السَّلَامَ وَأَطِبْ الْكَلَامَ وَصِلْ الْأَرْحَامَ وَقُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلْ الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ


Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya ia mendatangi Nabi SAW seraya berkata; Ya Rasulullah, Beritakanlah kepadaku tentang amalan yang jika aku kerjakan maka aku akan masuk syurga?" maka baginda bersabda: "Sebarkanlah salam, ucapkanlah perkataan yang baik, sambunglah hubungan silaturahim dan solatlah di waktu malam ketika manusia sedang nyenyak tidur, maka engkau akan masuk syurga dengan selamat." (Musnad Ahmad No: 10027) Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Tsiqah


Pengajaran:


1.Satu daripada kaedah mempelajari Islam ialah bertanya kepada mereka yang arif dan mahir seperti mana sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW.


2.Antara amalan yang jika di kerjakan boleh menjadi asbab seseorang masuk syurga ialah menyebarkan ucapan salam kepada orang Islam yang kita kenal mahupun yang tidak dikenali.


3.Menuturkan sesuatu perkataan yang baik  merupakan amalan yang dijanjikan syurga.


4.Memelihara hubungan silaturahim juga adalah amalan yang wajib kepada orang mukmin dan menjadi antara prasyarat jaminan syurga.


5.Solat sunat di waktu malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur adalah antara amalan yang akan memasukkan seorang Muslim ke syurga dengan selamat.


Dalam kita membina masyarakat dan negara yang teguh dan kukuh, suburkanlah amalan yang mengeratkan ukhuwah dan silaturahim kita sesama kita serta kaum kerabat antaranya dengan menyebarkan salam, ucapkanlah perkataan yang baik-baik sesama kita dan  sambunglah hubungan silaturahim sesama kerabat.

7 Cara Untuk Merangsang Sistem Imun Anda

 

TAMBAHKAN VITAMIN SINARAN MATAHARI ANDA

Vitamin D, dikenali juga sebagai vitamin sinaran matahari bukan sahaja menyokong tulang yang kuat dan kesihatan jantung tetapi turut membantu sistem imun kita untuk kekal seimbang. Walaupun kebanyakan daripada kita terkurung di dalam rumah sejak kebelakangan ini, anda masih lagi boleh mencari tempat yang disimbahi sinaran matahari di tingkap rumah anda atau makan makanan yang mengandungi vitamin D seperti salmon dan hering, cendawan dan telur kuning.

GERAKKAN BADAN ANDA

Senaman adalah penting untuk sistem imun anda kerana senaman membantu mengeluarkan toksin daripada badan anda. Terdapat banyak jenis senaman yang anda boleh lakukan di rumah, tidak kira saiz ruang anda! Cuba lakukan yoga, ikuti video You Tube, atau senaman XS kegemaran anda, atau bersenam bersama rakan melalui sembang video. Komitedlah untuk melakukan apa jua bentuk aktiviti fizikal setiap hari. #TiadaAlasan

MAKAN MAKANAN YANG BERWARNA-WARNI

Pastikan anda makan sebanyak mungkin buah-buahan dan sayur-sayuran yang berwarna-warni yang anda boleh peroleh. Blueberi yang penuh dengan antioksidan, buah-buahan sitrus yang meletakkan C dalam vitamin C, bayam yang kaya dengan kuprum dan ferum, dan bawang putih untuk antiradang; semuanya mempunyai manfaat merangsangkan sistem imun.

CARI ZEN ANDA

Tekanan boleh melemahkan kuasa sistem imun kita. Oleh itu, amatlah penting bagi kita mencari jalan untuk mengatasinya. Cubalah mandi, menyalakan lilin kegemaran anda, menonton sesuatu yang membuat anda ketawa, bermeditasi, atau menulis jurnal untuk mengurus tahap tekanan anda.

BERTENAGA DENGAN B

Tidur adalah penting dan tidur yang tidak mencukupi boleh melemahkan pertahanan badan kita. Sekiranya anda mendapat tidur berkualiti yang mencukupi tetapi masih lagi merasa penat, mungkin keadaan ini disebabkan oleh kekurangan B12 yang memainkan peranan penting dalam memastikan sistem imun kita kekal berfungsi melalui pengeluaran sel darah putih. 

BERIKAN PERHATIAN KEPADA GIGI ANDA

Bakteria di dalam mulut dan radang pada gusi anda boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang lebih serius. Bina tabiat yang konsisten dan teliti apabila melibatkan kesihatan mulut, termasuk memberus gigi dua kali sehari selama dua minit, begitu juga memflos.

DAPATKAN USUS YANG SIHAT

Sebanyak 70% sistem imun anda boleh didapati di dalam usus anda. Jadi, memastikan usus anda sihat adalah sangat penting demi mendapatkan kesihatan optimum. Makanan probiotik yang menggantikan semula bakteria baik di dalam usus anda termasuk yogurt, jeruk dan kefir. 


Sistem imun anda sentiasa penting – kini dan selama-lamanya. Dengan nutrien yang betul dan tabiat yang sihat, anda boleh membantu memastikan pertahanan badan anda dilengkapi sepenuhnya untuk memastikan anda sentiasa sihat.

Sunday, September 11, 2022

4 JENIS SENAMAN UNTUK MENCAPAI KESIHATAN OPTIMUM

 

Melakukan satu jenis senaman sahaja sememangnya tidak mencukupi untuk mencapai tahap kesihatan optimum.

Mungkin ada di antara kita yang sudah selesa dengan berjoging, dan menjadikannya senaman rutin setiap minggu. Sama juga seperti mereka yang lebih gemar berbasikal, skipping, berenang, dan lain-lain.

Tidak ada salahnya jika hanya melakukan satu jenis senaman, cuma rutin seperti ini bersifat tidak menyeluruh dan tidak mampu membantu seseorang mencapai kesihatan optimum tubuh badan, walau dilakukan berulang kali.

Oleh itu, apakah senaman lain yang boleh dilakukan sebagai tambahan kepada rutin senaman anda? Jom cuba praktikkan senaman daripada 4 kumpulan di bawah.

4 KUMPULAN SENAMAN

Jenis-jenis senaman ini pastinya memberi banyak manfaat kepada anda jika dilakukan secara konsisten.

Mari kita huraikan satu per satu:

1. KARDIO / AEROBIK


Senaman kardio / aerobik adalah senaman yang paling popular di kalangan masyarakat tempatan. Ianya mudah dilakukan dan selalunya tidak memerlukan sebarang peralatan senaman.

Contohnya seperti berjoging, senaman berjalan laju (brisk walking), berenang, berbasikal dan bermain bola sepak.

Senaman jenis kardio / aerobik ini berperanan untuk meningkatkan denyutan jantung bagi mengepam darah ke seluruh tubuh badan. Ini memastikan sistem peredaran darah dapat berfungsi dengan lancar tanpa sebarang halangan.

Selain itu, senaman-senaman ini menjadikan seseorang mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, strok, dan kencing manis.

2. LATIHAN KEKUATAN

Sesuai dengan namanya, senaman ini bertujuan untuk membina kekuatan tulang dan otot.

Contohnya seperti angkat berat, tekan tubi, plank, dan banyak lagi. Secara amnya, senaman jenis kekuatan ini banyak melibatkan pergerakan menggunakan otot anda.

Ramai yang menyifatkan senaman ini hanya spesifik untuk mereka yang ingin membina badan. Namun hakikatnya, ia merupakan satu elemen senaman yang penting untuk diterapkan dalam kehidupan seharian bagi membantu memperbaiki komposisi tubuh dan menguatkan otot badan.

Ia juga mampu membantu anda menurunkan berat badan dengan meningkatkan kadar metabolisme secara keseluruhan.

3. FLEKSIBILITI


Apabila sistem peredaran darah sudah lancar dan otot menjadi semakin kuat, jangan lupa juga untuk melakukan senaman fleksibiliti atau regangan.

Senaman regangan membantu melenturkan otot, memperbaiki fungsi sendi dan menjadikan badan lebih fleksibel. Pergerakan badan yang lebih bebas dapat mengelakkan kecederaan ketika melakukan aktiviti harian.

Antara senaman yang popular adalah yoga, pilates, senaman regangan (stretching) dan pelbagai lagi.

4. KESEIMBANGAN


Semakin meningkat usia, semakin kurang keseimbangan badan. Masalah ini sering dihadapi golongan tua atau warga emas.

Oleh itu, amat penting untuk melakukan senaman keseimbangan sementara anda masih muda dan bertenaga. Ini bertujuan memperbaiki keupayaan untuk mengawal keseimbangan badan agar tidak mudah jatuh.

Contoh yang paling mudah adalah berdiri dengan hanya menggunakan sebelah kaki seperti dalam gambar di atas, melakukan senaman tai chi dan berjalan dalam satu garisan lurus.

HARGAI TUBUH ANDA

Gaya hidup sihat merupakan asas paling utama dalam mencapai kesihatan tubuh badan yang optimum. Apa tunggu lagi, jom praktikkan empat jenis senaman ini dalam rutin senaman anda dan lihat sendiri perubahan yang berlaku pada diri anda!

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS-Manusia Paling Dibenci Allah

Manusia Paling Dibenci Allah


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ


Daripada Aisyah RA, ia mengatakan; Rasulullah SAW bersabda: "Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh)" (HR Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.Keras kepala adalah sifat yang beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego. Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan merupakan sifat Iblis.


2.Iblis menjadi kufur akibat daripada sifat keras kepala dan sombong dengan merasakan dia lebih baik daripada orang lain.


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مسعود عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ


Daripada Abdullah bin Masud RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi daripada kesombongan." (Sahih Muslim No: 133) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih


3.Orang yang suka membantah adalah mereka yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri walaupun salah. Ia akan menjadikannya  seorang yang angkuh dan sombong. Baginya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Akhirnya mewujudkan ketidak sefahaman dan permusuhan.


Hidup bermasyarakat menuntut kita memiliki hati yang lembut, boleh menerima nasihat dan teguran. Jauhi sifat keras kepala dan suka membantah.

MENCAPAI KESIHATAN OPTIMUM, SECARA SEMULA JADI

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan kesihatan sebagai suatu keadaan kesejahteraan yang lengkap, bukan sekadar tiada penyakit dan kelemahan.*  

Kesihatan optimum bukan sekadar cergas dari segi fizikal tetapi juga melibatkan mental dan kesejahteraan sosial kita. Oleh itu, bagaimanakah cara kita boleh mencapai dan mengekalkan kesihatan optimum, secara semula jadi?

Empat Tonggak Kesihatan Optimum Menurut Nutrilite

GAYA HIDUP

Keputusan gaya hidup kita mempunyai impak mendalam ke atas kehidupan kita dan memberi kesan ke atas kesihatan optimum kita. Berusaha dengan sengaja untuk memilih cara hidup sesihat yang kita boleh – itu adalah langkah pertama untuk mencapai kesejahteraan keseluruhan.  

TUBUH

Kita semua perlukan senaman yang kerap dan sederhana demi mengekalkan jantung yang kuat, memejalkan otot dan mengurangkan kesan tekanan. Menjadikan senaman dan aktiviti fizikal sebahagian daripada kehidupan harian kita akan membantu kita mengekalkan kesihatan yang baik.  

MINDA

Sikap mental yang positif akan mengurangkan tekanan dan membantu kita mengatasi tekanan kehidupan harian. Bersikap optimis, menjalani kehidupan yang seimbang dan mententeramkan tubuh serta minda menerusi kaedah santaian akan membantu anda kekal positif dan sihat.  

PEMAKANAN & SUPLEMEN

Malah diet terbaik sekalipun mungkin gagal memberikan  jumlah vitamin dan mineral harian yang disyorkan. Kerana itu pengambilan suplemen barangkali adalah cara terbaik untuk mengisi jurang di antara makanan yang anda makan dan  nutrien yang tubuh anda perlukan.  

“Sesetengah orang bercakap seolah-olah begitu mudah untuk kekal sihat. Apa yang anda perlukan lakukan ialah makan tiga sajian seimbang setiap hari, bersenam selalu, kurangkan tekanan dan tidur dengan nyenyak. Kedengaran mudah tetapi sangat sukar dicapai! Lalu apakah penyelesaiannya? Nutrilite seharusnya menjadi sebahagian daripada pelan anda. Kami mensasarkan untuk membantu orang di seluruh dunia mencapai kesihatan optimum. Setiap hari, kami mahu menjadi sebahagian daripada masa hadapan anda.”  

Dr Sam Rehnborg Presiden, Institut Kesihatan Nutrilite 

*Preamble to the Constitution of the World Health Organization as adopted by the International Health Conference, New York, 1946.

Thursday, September 8, 2022

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS-Makan Daging Saudara SeIslam

Makan Daging Saudara SeIslam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ

 

Daripada Abdullah ibn Masud RA beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi SAW, kemudian berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi SAW : “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata : Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” (HR Thabarani  No: 13145) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.Dalam kehidupan ini, setiap orang tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Namun kita dilarang menceritakan kekurangan dan aib orang lain. 


2.Orang yang menceritakan aib orang lain atau disebut mengumpat, diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain. Firman Allah:


يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢ 


Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)


3.Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan; mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan) (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)


4.Walaupun begitu, bukanlah larangan mutlak menceritakan aib dan kelemahan orang lain. Al-Nawawi dan Ibn Qudamah menyebut Enam keadaan mengumpat yang diharuskan oleh syarak:


a.Membuat aduan mengenai kezaliman kepada pihak berkuasa atau  hakim agar kezaliman dapat dibanteras dan diadili.

b.Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat 

c.Meminta fatwa 

d.Memberikan peringatan kepada orang lain terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang terhindar daripada kejahatannya.

e.Seseorang yang terang-terang melakukan kemungkaran.

f.Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta dan dia redha dengannya


Bersamalah kita menjaga hubungan dalam hidup bermasyarakat. Elakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan hubungan ukhuwah sesama kita.