Tuesday, October 11, 2022
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS-Rasulullah SAW Contoh Akhlak Terbaik
Rasulullah SAW Contoh Akhlak Terbaik
حَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْجَدَلِيُّ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ كَيْفَ كَانَ خُلُقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَهْلِهِ قَالَتْ كَانَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا لَمْ يَكُنْ فَاحِشًا وَلَا مُتَفَحِّشًا وَلَا سَخَّابًا بِالْأَسْوَاقِ وَلَا يُجْزِئُ بِالسَّيِّئَةِ مِثْلَهَا وَلَكِنْ يَعْفُو وَيَصْفَحُ
Telah menceritakan kepadaku Abu Abdullah Al Jadali dia berkata; Saya bertanya kepada Aisyah; "Bagaimanakah akhlak Rasulullah SAW terhadap keluarganya." Aisyah berkata; "Baginda adalah orang yang paling baik akhlaknya, tidak pernah berbuat keji, tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor, tidak berteriak-teriak di pasar, dan tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya), akan tetapi baginda seorang yang pemaaf dan pengampun." (HR Ahmad No: 24797) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW adalah orang yang paling baik akhlak terhadap keluarga dan orang lain.
2. Rasulullah SAW tidak pernah melakukan perbuatan keji seperti perbuatan syirik.
3. Rasulullah SAW tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor serta tidak terjerit-jerit di pasar (shoping kompleks).
4. Antara akhlak terpuji Rasulullah SAW ialah tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya).
5. Rasulullah SAW adalah seorang yang pemaaf kepada orang lain.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS-Contohi Akhlak Rasulullah
Contohi Akhlak Rasulullah
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: خَدَمْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ سِنِينَ وَاللهِ مَا قَالَ لِي: أُفًّا قَطُّ وَلَا قَالَ لِي لِشَيْءٍ: لِمَ فَعَلْتَ كَذَا وَهَلَّا فَعَلْتَ كَذَا
Daripada Anas bin Malik RA berkata : Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah SAW selama 10 tahun, Demi Allah, Baginda SAW tidak pernah berkata kepadaku “ Uff ” dan tidak pernah berkata kepadaku kerana sesuatu : Kenapa awak buat begini ? Kenapa awak tidak buat begini ? (HR Muslim No : 2309) Status: Hadis Sahih.
Pengajaran :
1. Rasulullah SAW memiliki akhlak yang sangat terpuji. Tutur katanya sangat lembut dan penuh hikmah kepada sesiapa sahaja walaupun terhadap hamba.
2. Kalimah Uff adalah ucapan atau suara yang menunjukkan rasa tidak hormat dan menyakitkan hati. Mungkin bagi kita adalah kata-kata seperti ini : “ah !! , Ish !! Hoi !! Hey!! dan sebagainya.
3. Tutur kata merupakan antara penyebab utama seseorang itu mendapat dosa kerana terlalu mudah untuk menyebut perkataan yang tidak baik. Menjaga tutur kata juga adalah tanda orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.
4. Rasulullah SAW tidak pernah berkata perkataan kasar kepada sahabat hatta kepada pekerja seperti perkataan “Uff ”. Baginda juga tidak memarahi orang yang berkhidmat dengannya.
5. Marilah kita membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menjadikan Rasul sebagai contoh terbaik dalam kehidupan kita. Antaranya menjaga tutur kata dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang buruk termasuk dalam penulisan. Firman Allah:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-Ahzab: 21).
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS-Berselawat Dalam Majlis
Berselawat Dalam Majlis
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الرَّجُلُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً فِي الْمَجْلِسِ أَجْزَأَ عَنْهُ مَا كَانَ فِي ذَلِكَ الْمَجْلِسِ
Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang berselawat kepada Nabi SAW sebanyak sekali di dalam sesebuah majlis, maka ianya telah mencukupi sepanjang ia berada di majlis tersebut. (Sunan at-Tirmidzi No: 3468) Status: Hassan Sahih
Pengajaran:
1. Majlis yang diberkati, di dalamnya disertakan dengan kalimah Allah dan selawat ke atas Nabi SAW
2. Berselawat sekali apabila berada dalam satu majlis atau program mencukupi bermaksud sangat mudah untuk dilakukan tetapi memiliki pahala yang sangat besar termasuk keampunan.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dari Abdullah bin ‘Amr RA, ia berkata:
مَنْ صَلَّى عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَمَلاَئِكَتُهُ سَبْعِيْنَ صَلاَةً, فَلْيُقِلَّ عَبْدٌ مِنْ ذَلِكَ أَوْ لِيُكْثِرْ.
“Barangsiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW sekali sahaja, maka Allah dan para Malaikatnya akan berselawat kepadanya sebanyak tujuh puluh selawat, maka perbanyaklah seorang hamba dalam membacanya.” (Al-Musnad Imam Ahmad X/106-107 No. 6605) Status: Hadis Hasan
3. Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun baginya.
4. Memperbanyak selawat pada bila-bila masa amat digalakkan
Tuesday, October 4, 2022
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Keutamaan Orang Berselawat
Keutamaan Orang Berselawat
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مَسْعُودٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُ النَّاسِ عَلَيَّ صَلاةً
Daripada Abdullah Bin Masoud berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang paling utama bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. (HR at-Tabrani No: 9679) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW adalah amalan yang dituntut.
2. Mukmin yang paling utama akan bersama Rasulullah SAW pada hari kiamat nanti adalah yang paling banyak berselawat ke atas baginda.
3. Orang yang berselawat keatas Nabi SAW, para malaikat juga berselawat keatasnya (Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun baginya). ‘Amir Bin Rabi’ah meriwayatkan, Rasulullah bersabda:
ما مِنْ عبدٍ يُصَلِّي علَيَّ إلَّا صَلَّتْ عليه الملائكةُ ما دامَ يُصَلِّي علَيَّ فلْيُقِلَّ العبدُ مِنْ ذلِكَ أوْ لِيُكْثِرْ
Tidaklah seseorang hamba berselawat kepadaku melainkan para malaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawatlah sama ada sedikit atau banyak. (at-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, 2/182, no. 1654. Ahmad, 24/457, no. 15689)
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Orang Yang Enggan Masuk Syurga
Orang Yang Enggan Masuk Syurga
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى
Daripada Abu Hurairah RA, bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan, " Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?" Nabi menjawab: "Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang mendurhakaiku dialah orang yang enggan." (HR Bukhari No: 6737) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap umat Nabi Muhammad SAW akan masuk ke syurga dengan syarat mentaati dan mengikuti apa yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala yang dilarang.
2. Taat dan patuh itu antaranya dengan mentauhidkan Allah serta istiqamah dalam melaksanakan syariat Allah seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan puasa Ramadhan, berbakti kepada kedua orang tua, menjaga dari perkara yang haram seperti perbuatan zina, minum yang memabukkan, serta perkara haram yang lain.
3. Orang yang enggan dan tidak mahu mentaati syariat yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah SAW adalah orang yang enggan untuk masuk syurga. Orang tersebut mencegah dirinya untuk masuk ke dalam syurga dengan melakukan amal keburukan dan meninggalkan syariat yang diwajibkan.
4. Wajib bagi setiap muslim untuk mentaati segala perintah Allah, serta mengikuti Nabi Muhammad SAW dalam setiap syariat yang baginda bawa. Firman Allah:
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya” (Al Hasyr: 7)
Sunday, October 2, 2022
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Rasulullah Penyelamat Umat
Rasulullah Penyelamat Umat
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ فَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya perumpamaan diriku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika itu, binatang dan kelekatu berjatuhan ke dalamnya. Maka aku mencegah kalian, namun kalian melemparkan diri ke dalamnya. (HR Bukhari No: 6483) Status : Hadis Sahih.
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW diutus untuk memberitahu manusia akan ancaman azab api Neraka yang menanti di Akhirat bagi mereka yang berbuat maksiat juga yang tidak beriman.
2. Rasulullah SAW berusaha untuk menyelamatkan manusia dari menjadi ahli Neraka. Baginda SAW menyampaikan Islam sebagai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.
3. Imam An-Nawawi berkata: hadis ini membawa maksud bahawa Rasulullah SAW menggambarkan perbuatan orang jahil dan ingkar yang bergelumang dengan maksiat dan syahwat sebenarnya melemparkan diri ke dalam Neraka, seperti kelekatu yang terbang ke dalam api kerana mengikut keinginan dan tidak mampu membezakan bahaya atau tidak, sedangkan Baginda SAW berusaha menghalang mereka dari terjatuh ke dalamnya.
4. Teknik memberikan perumpamaan yang boleh digambarkan oleh akal, adakalanya diperlukan bagi menyampaikan dakwah dan menyedarkan jiwa umat.
5. Jangan jadikan kita seperti kelekatu yang terhumban ke dalam api kerana tidak dapat membezakan antara bahaya dan bahagia. Ikutilah perintah dan larangan Rasulullah SAW yang sayang dan kasih kepada umatnya agar tidak terhumban ke dalam neraka.
6. Jadikan diri kita pewaris tugas Rasulullah sebagai pendakwah untuk menyelamatkan diri kita dan orang lain daripada api neraka.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Berselawat Tuntutan Mukmin
Berselawat Tuntutan Mukmin
عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا} . قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ عَلِمْنَا السَّلَامَ فَكَيْفَ الصَّلَاةُ عَلَيْكَ "قُولُوا: اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ". وَكَانَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي لَيْلَى يَقُولُ: وَعَلَيْنَا مَعَهُمْ.
Daripada Ka'b ibnu Ujrah berkata, bahawa ketika ayat ini diturunkan : Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56) Lalu kami bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui bagaimana cara mengucapkan salam penghormatan kepadamu. Maka bagaimanakah caranya mengucapkan selawat untukmu?" Rasulullah SAW. menjawab: Ucapkanlah, "Ya Allah, limpahkanlah selawat buat Muhammad dan keluarganya, sebagaimana telah Engkau limpahkan selawat buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mahamulia. Dan limpahkanlah berkah buat Muhammad dan keluarganya sebagaimana telah Engkau limpahkan berkah buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguh¬nya Engkau Maha Terpuji lagi Mahamulia.” Dan Abdur Rahman ibnu Abu Laila mengatakan, "Dan semoga dilimpahkan pula kepada kami disertakan dengan mereka." (HR Bukhari No: 2497) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang dituntut kepada setiap Mukmin.
2. Abul Aliyah telah mengatakan bahawa yang dimaksud dengan selawat dari Allah ialah pujian-Nya kepada Nabi SAW. Selawat dari para malaikat ialah doa mereka untuknya.
3. Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari Allah adalah rahmat-Nya, dan selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun bagi yang bersangkutan.
4. Rasulullah SAW mengajarkan cara berselawat ke atas baginda. Seafdhal-afdhal selawat adalah selawat yang biasa dibaca semasa tasyahud akhir setiap solat (Mustika Hadis 1/259) atau yang dipanggil selawat Ibrahimi:
اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
5. Setiap Mukmin dituntut berselawat setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW. Antaranya dengan lafaz:
– صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ
Atau
– عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ
Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW. Abi Umamah berkata Rasulullah bersabda:
أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَإِنَّ صَلاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً
Banyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku. (Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 3/249, no. 5791) Status: Hadis Hasan
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Rasul
Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Rasul
عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Daripada Anas RA ia berkata, Nabi SAW bersabda: "Tidak sempurna keimanan seseorang diantara kalian hingga ia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia semuanya." (HR Bukhari No: 15) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Kesempuraan iman itu menuntut kecintaan yang sempurna kepada Rasulullah SAW.
2. Kesempurnaan iman seseorang mesti meletakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW melebihi kecintaan kepada ibu bapa, anaknya juga manusia seluruhnya.
3. Kecintaan kepada Rasulullah SAW juga mesti melebihi kecintaan kepada diri sendiri atau hawa nafsunya. Rasulullah SAW menjelaskan kepada Saidina Umar kecintaan yang sebenar seperti di riwayatkan Abdullah bin Hisyam RA, ia berkata:
كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ آخِدٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ َلأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلاَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ وَالَّذِي نَفْسِيْ بِيَدِهِ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ. فَقَالَ لَهُ عَمَرُ: فَإِنَّهُ اْلآنَ وَاللهِ َلأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اْلآنَ يَا عُمَرُ.
“Kami mengiringi Nabi SAW, dan baginda memegang tangan ‘Umar bin al-Khatab RA. Kemudian ‘Umar berkata kepada Nabi SAW: ‘Wahai Rasulullah, sungguh engkau sangat aku cintai melebihi apa pun selain diriku.’ Maka Nabi SAW menjawab: ‘Tidak, demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, hingga aku sangat engkau cintai melebihi dirimu.’ Lalu ‘Umar berkata kepada baginda: ‘Sesungguhnya sekarang, demi Allah, engkau sangat aku cintai melebihi diriku.’ Maka Nabi SAW bersabda: ‘Sekarang (engkau benar), wahai ‘Umar.’ (HR. Bukhari No: 6632) Status: Hadis Sahih
4. Kecintaan kepada Rasulullah SAW mesti didahului dengn kecintaan kepada Allah. Mencintai Rasulullah adalah cinta kerana Allah.
5. Kecintaan kepada Rasulullah SAW mesti diperlihatkan dengan lisan dan perbuatan. Bukti cinta dengan mencontohi sunnah Nabi dalam ibadat dan amalan seharian.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Mohon Jauh Dari Pelbagai Keburukan
Mohon Jauh Dari Pelbagai Keburukan
وَعَنْ قُطْبَةَ بْنِ مَالِكٍ رضى الله عنه قَالَ: كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: اَللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ اَلْأَخْلَاقِ, وَالْأَعْمَالِ, وَالْأَهْوَاءِ, وَالْأَدْوَاءِ
Daripada Qutaibah bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca doa: Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang munkar, nafsu yang buruk dan pelbagai penyakit yang berat. (Sunan Tirmidzi no 3591) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW mengajar kita agar sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah dalam setiap masa dan keadaan agar dijauhi daripada sesuatu yang buruk.
2. Dalam kehidupan kita, pelbagai akhlak buruk, amal buruk, nafsu buruk serta penyakit berat yang mungkin akan menjadi tabiat dan dimiliki oleh seseorang.
3. Rasulullah SAW mengajar kita agar memohon untuk dijauhi dan jangan didekatkan dengan:
a. Akhlak buruk seperti sifat sombong, hasad, dengki, kedekut, suka berburuk sangka dan sebagainya.
b. Amal buruk yang berkaitan dengan anggota tubuh, seperti perbuatan buruk berkaitan lisan, dan tulisan, suka mencaci, suka mencela, memukul orang, membunuh, berzina, merompak dan pelbagai dosa besar.
c. Hawa nafsu yang buruk akan menjerumuskan seseorang kepada perkara yang membinasakan, menjadikan seseorang berani untuk melakukan dosa. Firman Allah :
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ
“Terangkanlah kepadaku bagaimana tentang seorang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya?” (Al Jatsiyah: 23)
d. Penyakit berat yang memudaratkan dan merbahaya seperti kanser, HIV, jantung, strok dan sebagainya.
4. Namun Rasulullah SAW tidaklah memohon berlindung dengan semua penyakit secara mutlak, kerana ada sebahagian penyakit yang memang bermanfaat. Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda:
مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
“Tidaklah seorang Muslim ditimpa dengan keletihan, penyakit, kekhawatiran (sesuatu yang akan menimpa di kemudian hari), kesedihan, demikian juga gangguan dari orang lain, kegelisahan hati, hingga duri yang menusuknya, kecuali Allah SWT akan menghapuskan dosa-dosanya.” (HR Bukhari no 5210)
Pesanan al-Habib 'Abdullah bin Abdul Qadir Al-Habsyi
Antara pesanan al-Habib 'Abdullah bin Abdul Qadir Al-Habsyi yang diterjrmahkan oleh YM Ustaz Muhammad Hatta Abdul Rahim sempena Majlis Iftitah Maulid Arba'in 1444H;
•Jangan tinggalkan majlis pembacaan maulid sepanjang bulan Rabi'ul Awwal.
• Sentiasa melatih diri untuk perbanyakkan berselawat ke atas Rasulullah.
• Selama 40 hari ini usahakan agar jangan tinggal solat fardhu secara berjemaah.
•Dalam 40 hari ini (Maulid Arba'in) jangan tinggalkan qiyamulail, bangu2qn malam walaupun ibadah dalam waktu yang singkat.
• Usahakan untuk membaca Al Quran walaupun sekurang-kurangnya 1 muka surat.
• Jika mengalami kesulitan dalam membaca Al-Quran atau sibuk dalam membahagi masa membaca Al-Quran, sekurang-kurangnya usahakan untuk membaca surah al-Ikhlas sebanyak 100 kali setiap
#Pesan Habib ;
• Kebaikan itu bukan murah nilainya, syurga itu mahal harganya..dan disertai dengan sifat mujahadah yang tinggi dalam istiqomah untuk beramal..
•Selepas 40 hari kita akan lihat hasilnya terhadap diri kita.
•Al-Imam Syeikh Abdul Wahhab al Sya'rani berkata akhir zaman ini, jika seseorang itu tidak bertemu guru mursyid, maka perbanyakkan selawat atas Rasulullah... Kerana selawat akan menyampaikan dirimu kepada Rasulullah...
#maulidarbain
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Perumpamaan Mukmin Dalam Kapal
Perumpamaan Mukmin Dalam Kapal
حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا زَكَرِيَّاءُ قَالَ سَمِعْتُ عَامِرًا يَقُولُ سَمِعْتُ النُّعْمَانَ بْنَ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالْوَاقِعِ فِيهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنْ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ فَقَالُوا لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا
Telah menceritakan kepada kami Abu Nu'aim telah menceritakan kepada kami Zakariyya' berkata, aku mendengar 'Amir berkata, aku mendengar An-Nu'man bin Basyir ٌdari Nabi ٍSAW bersabda: "Perumpamaan orang yang mematuhi dan melanggar batas-batas hukum Allah adalah seperti suatu kaum yang mengundi untuk menentukan kedudukan masing-masing yang belayar di dalam sebuah kapal. Sebahagian mereka mendapat tempat di bahagian atas dan sebahagian lagi di bahagian bawah. Apabila mereka yang berada di bahagian bawah ingin mendapatkan air, mereka melalui tempat orang yang berada di bahagian atas. Lalu mereka berkata sesama mereka: "Jika kita melubangi tempat kita, nescaya kita tidak akan mengganggu orang yang berada di atas. Sekiranya orang yang berada di atas membiarkan saja apa yang dilakukan orang yang di bawah itu maka mereka semua akan binasa. Namun jika mereka mencegah dengan tangan mereka maka mereka akan selamat semuanya".(HR Bukhari No: 2313) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Perumpamaan hidup bermasyarakat seperti berada dalam satu kapal yang sedang belayar.
2. Mungkar yang dilakukan oleh individu dalam masyarakat akan memberi saham yang mengugat keselamatan seluruh masyarakat tersebut.
3. Jika dibiarkan orang yang berada ditingkat bawah menebuk lubang hanya kerana ingin mudah mendapat air, mudaratnya akan ditanggung oleh seluruh penghuni isi kapal.
4. Sebagai anggota masyarakat, setiap kita bertanggungjawab mencegah maksiat dan mungkar mengikut kemampuan masing-masing, agar azab Allah tidak menimpa kepada semua (termasuk atas orang yang baik).
Berusahalah mencegah kemungkaran mengikut kemampuan dan kapasiti yang kita ada jika berlaku sebarang kemungkaran di dalam KAPAL yang sedang kita naiki. Kapal kita mungkin keluarga, organisasi, masyarakat juga negara.
Firman Allah:
وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan (Taubah: 71)
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Penuntut Ilmu Dilindungi
Penuntut Ilmu Dilindungi
عَنْ صَفْوَانَ بْنَ عَسَّالٍ الْمُرَادِيَّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ خَارِجٍ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ إِلَّا وَضَعَتْ لَهُ الْمَلَائِكَةُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا بِمَا يَصْنَعُ
Daripada Shafwan bin Assal Al Muradi, ia berkata, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:"Tidaklah seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu kecuali para malaikat akan mengembangkan sayap-sayapnya untuk orang tersebut kerana redha dengan apa yang ia kerjakan." (Sunan Ibnu Majah No: 222) Status: Hasan Sahih
Pengajaran:
1. Menuntut ilmu adalah suatu tuntutan ke atas setiap Muslim
2. Setiap Muslim yang keluar dari rumah untuk menuntut ilmu akan sentiasa dinaungi para Malaikat. Mengikut Abu Abdullah bin Hakim, para malaikat mengembangkan sayap kepada penuntut ilmu bermaksud malaikat menjaga, melindungi, dan membentengi.
3. Menuntut ilmu tidak hanya terhad kepada golongan pelajar di peringkat sekolah mahupun Institut Pengajian Tinggi, malah setiap orang tanpa mengira usia, masa, dan tempat. Sama ada secara bersemuka mahupun secara online. Allah mengangkat darjat orang yang berilmu:
يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]
Rasulullah mengajar kita berdoa agar mendapat ilmu bermanfaat
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ حِينَ يُسَلِّمُ
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا
Daripada Ummu Salamah berkata, "Selepas salam dalam solat subuh Nabi SAW mengucapkan: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima (Ibn Majah No 915) Status: Hadis Sahih
Thursday, September 22, 2022
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS-Jauhi Syubhah Agar Jiwa Tenang
Jauhi Syubhah Agar Jiwa Tenang
عَنْ أَبِي محمد الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّبن أبي طالب رضي الله عنهما قَالَ :حَفِظْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ
Daripada Abi Muhammad Al Hasan bin Ali bin Abi Talib RA katanya : Aku telah menghafal daripada Rasulullah SAW : "Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada sesuatu yang tidak meragukanmu kerana kebenaran atau kejujuran itu ketenangan dan sifat dusta itu mendatangkan keraguan. (HR Tirmizi No: 2518) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Maksud perkataan الريبة adalah meninggalkan apa yang mendatangkan syak (keraguan) dalam hati pada sesuatu perkara dan berpegang kepada sesuatu yang tidak mendatangkan syak (keraguan) pada perkara tersebut.
2. Tinggalkan sesuatu yang syubhah atau meragukan agar jiwa kita sentiasa tenang.
3. Galakan untuk bersifat benar kerana itu adalah sumber kepada kebaikan dan peringatan untuk menjauhi sifat dusta kerana itu adalah punca bagi setiap keburukan.
4. Hendaklah seseorang itu menjauhi perkara yang mendatangkan syubhah (keraguan) kepadanya dan berpegang kepada perkara yang jelas lagi nyata kerana sesiapa yang menjauhi perkara syubhah maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Sebaliknya sesiapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, maka dia telah jatuh dalam perkara yang haram.
5. Berusahalah memastikan sesuatu itu yang benar dan soheh bukan yang meragukan apatah lagi yang palsu atau penipuan scammer.
Wednesday, September 21, 2022
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Ucapan Ketika Melihat Suatu Yang Disukai dan Dibenci
Ucapan Ketika Melihat Suatu Yang Disukai dan Dibenci
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
Daripada 'Aisyah RA dia berkata; "Apabila Rasulullah SAW melihat sesuatu yang baginda sukai, baginda akan mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna." dan apabila baginda melihat sesuatu yang dibenci, baginda mengucapkan: "Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan." (Sunan Ibnu Majah No: 3793) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW mengajar kepada kita adab apabila melihat sesuatu sama ada yang disukai atau yang dibenci.
2. Apabila melihat sesuatu yang disukai, hendaklah kita mengucapkan kalimah:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
"Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna."
3. Apabila melihat sesuatu yang kita benci hendaklah kita mengucapkan kalimah:
الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
"Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan
Mari kita amalkan kalimah terpuji apabila melihat sesuatu yang disukai mahupun juga yang dibenci
Monday, September 19, 2022
Sunday, September 18, 2022
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Ilmu Umpama Hujan
Ilmu Umpama Hujan
عَنْ أَبِي مُوسَى عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنْ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ
وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ
Daripada Abu Musa dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Perumpamaan petunjuk (hidayah) dan ilmu yang Allah mengutusku dengan membawanya adalah seperti hujan lebat yang jatuh ke bumi. Di antara tanah itu ada jenis yang dapat menyerap air sehingga dapat menumbuhkan rerumput dan tumbuhan yang pelbagai. Ada pula tanah yang keras tidak menyerap air hingga bertakungnya air sehingga dapat diminum oleh manusia, haiwan ternak dan untuk menyiram tanaman. Ada juga permukaan tanah yang berbentuk lembah yang tidak dapat menahan air dan juga tidak dapat menumbuhkan tanaman. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama, memahami agama Allah dan dapat memanfaatkan apa yang aku diutus dengannya, dia mempelajarinya dan mengajarkannya. Begitu juga perumpamaan orang yang tidak dapat mengangkat darjat (untuk berfikir) dan tidak mahu menerima hidayah Allah dengan apa yang aku diutus dengannya (dia umpama tanah yang tidak menakung air dan tidak subur)". (HR Bukhari No: 79) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
Terdapat tiga kategori manusia:
1. Orang yang berilmu, beramal dengan ilmu, dan mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Ini seperti tanah yang subur yang bila ditimpa hujan ia menyerap air dan menumbuhkan tumbuhan.
2. Orang yang berilmu, kurang dalam amalan, atau kurang memahami ilmu yang dia dapati, akan tetapi dia tetap menyampaikan ilmu tersebut. Hal ini seperti tanah yang keras. Ia tidak dapat menyerap air, akan tetapi air yang bertakung itu memberi manfaat kepada makhluk lain.
3. Orang yang berilmu, tetapi tidak berusaha memahami atau menghafaznya, tidak juga beramal dengannya, dan tidak juga berkongsi ilmu. Ia seperti tanah yang tidak subur untuk menumbuhkan tumbuhan, dan tidak juga dapat menakung air. Ilmu itu tidak bermanfaat untuk dirinya dan orang lain.
4. Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: “Sebagaimana hujan yang turun akan menghidupkan tanah yang mati, begitu jugalah ilmu agama akan menghidupkan hati yang telah mati”.
Jadilah kita kategori pertama, orang yang menerima ilmu, mengamalkan dan menggunakannya untuk mengajar serta memberi manfaat kepada orang lain.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Bersama Dengan Orang Yang Dicintai
Bersama Dengan Orang Yang Dicintai
عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
Daripada Abu Wa`il dari Abdullah dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda: "Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya." (HR Bukhari No: 5702) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Orang yang "mencintai" seseorang akan sentiasa bersama dengan orang yang "dicintai".
2. Ibnu Hajar menjelaskan: sesungguhnya kita akan bersama dengan orang yang kita cinta, sentiasa akan didekatkan dengan orang yang dicintai malah kita akan termasuk dalam golongan yang dicintai.
3. Cintailah orang yang soleh kerana seseorang akan dibangkitkan di hari kiamat bersama dengan orang yang dicintai.
4. Ibnu Battal dalam Syarah Sahih Al-Bukhari, hlm. 9/333, menyatakan: Ketika seorang mencintai orang yang soleh, di mana dia mencintai mereka kerana ketaatan mereka pada Allah sedang cinta itu merupakan perbuatan hati dan keyakinan hati maka Allah memberi pahala padanya sebagaimana pahala orang soleh yang dicintainya. Kerana niat itu adalah yang asal sedang amal itu mengikuti niat.
قِيلَ لِلنَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلُ يُحِبُّ الْقَوْمَ وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
Ada yang berkata pada Nabi SAW, ‘Ada seseorang yang mencintai suatu kaum, namun ia tidak pernah berjumpa dengan mereka.’ Nabi SAW lantas bersabda, ‘Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai.’” (HR Muslim no: 2640) Status: Hadis Sahih.
5. Orang yang cinta kepada Rasulullah SAW, ia akan tetap dapat bersama Rasulullah SAW memasuki Syurga walaupun tingkatan syurganya berbeza (Fathul Bari, 10: 555).
6. Cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan sentiasa mencontohi, mengikuti dan mentaati perintah dan larangan. Perbuatan tersebut akan menatijahkan kecintaan Rasulullah SAW kepada kita walaupun kita tidak pernah menemui baginda.
Dalam kita membina kehidupan di negara tercinta ini, kita mengharapkan kebahagiaan hidup ini bukan hanya di dunia malah juga di akhirat nanti. Justeru jadikanlah Rasul serta orang-orang soleh sebagai qudwah untuk kita contohi dan cintai. Moga kita akan bersama mereka di Syurga nanti.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS - Hubungkan Ukhuwah Dengan Sapaan
Hubungkan Ukhuwah Dengan Sapaan
عَنْ هِشَامَ بْنَ عَامِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ مُسْلِمًا فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ فَإِنْ كَانَ تَصَارَمَا فَوْقَ ثَلَاثٍ فَإِنَّهُمَا نَاكِبَانِ عَنْ الْحَقِّ مَا دَامَا عَلَى صُرَامِهِمَا وَأَوَّلُهُمَا فَيْئًا فَسَبْقُهُ بِالْفَيْءِ كَفَّارَتُهُ فَإِنْ سَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ وَرَدَّ عَلَيْهِ سَلَامَهُ رَدَّتْ عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ وَرَدَّ عَلَى الْآخَرِ الشَّيْطَانُ فَإِنْ مَاتَا عَلَى صُرَامِهِمَا لَمْ يَجْتَمِعَا فِي الْجَنَّةِ أَبَدًا
Daripada Hisyam bin 'Amir berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudara Muslim lebih dari tiga malam, jika mereka berdua saling mendiamkan lebih dari tiga malam tersebut, keduanya jauh dari kebenaran selama mereka berdua masih memutuskan hubungan. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dari rasa marah (menyambung kembali hubungan ukhuwah), maka ia menjadi penebus dosanya. Jika (si 'A') memberi salam terhadap temannya (si 'B') namun tidak diterima, padahal (si 'A') masih mahu menjawab salamnya, maka (si 'A') akan dijawab oleh Malaikat, dan (si 'B') yang mendiamkan akan dijawab oleh syaitan. Jika mereka berdua meninggal dalam keadaan saling mendiamkan, maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya." (HR Ahmad No: 15668) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Seorang muslim tidak boleh memutuskan hubungan dengan saudara Muslimnya lebih dari tiga malam
2. Jika kedua-dua Muslim yang berselisih, saling mendiamkan diri dengan tidak bertegur sapa lebih dari tiga malam, keduanya akan jauh dari kebenaran (Rahmat) selama mereka berdua masih memutuskan hubungan.
3. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dan segera menyambung kembali hubungan ukhuwah, maka ia akan menjadi penebus dosanya kerana memutuskan.
4. Jika ia memberi salam kepada temannya namun tidak dijawab oleh temannya, maka ucapan salamnya akan dijawab oleh Malaikat, dan teman yang berdiam akan dijawab oleh syaitan.
5. Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan saling mendiamkan diri (tidak mahu menghubungkan kembali ukhuwah), maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya.
Bersamalah kita saling menghubung ukhuwah dan menyemai sifat berkasih sayang sesama kita melalui bertegur sapa. Saling bertolong bantu dalam perkara yang disepakati dan saling bermaafan dalam perkara yang berbeza.